comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki ditemui mati dalam kenderaan mewah di LPT

Oleh: Fazli Ahmad

TEMERLOH: Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kenderaan mewah di Kilometer 88, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat susur ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Lanchang, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui di tempat duduk pemandu dalam kenderaan di lorong tengah lebuh raya.

Difahamkan ketika kejadian lelaki terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Karak bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat laporan kira-kira jam 6:27 petang tadi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati sebuah kenderaan mewah dengan enjin masih hidup dan pintu berkunci berada di lorong tengah lebuh raya.

“Pemeriksaan mendapati pemandunya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan anggota bomba bertindak memecah cermin tingkap untuk membuka pintu kenderaan terbabit.” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya selepas pintu kenderaan itu dibuka, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan turut bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan dan mendapati lelaki terbabit telah meninggal dunia.

Menurutnya, mayat mangsa diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketika laporan ini ditulis, mayat lelaki terbabit masih di lokasi kejadian dan polis sedang melakukan siasatan.

Difahamkan mayat lelaki terbabit akan dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS) Temerloh untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan Identiti mangsa belum diperolehi.

Loading...
Terkini