MARANG: Seorang lelaki maut di tepi jalan di Kampung Pantai Seberang Marang, di sini dengan kesan kelar pada leher, dipercayai menggunakan serpihan kaca tingkap.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ts Mohd Razman Setapa, berkata mayat lelaki berusia 32 tahun itu ditemui kira-kira jam 5.40 petang.
Sebelum itu, katanya, ibu dan adik lelaki mangsa menyedari lelaki berkenaan dalam keadaan berdarah di bahagian leher.
“Seorang lelaki lain iaitu jiran mangsa yang sedang menunggang motosikal turut melihat mangsa terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.06 petang sebelum menghantar anggota ke lokasi.
“Mayat dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. Difahamkan, lelaki itu baru bebas dari penjara pada 9 September lalu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.