SIBU: Lelaki yang dilaporkan hilang pada 6 September lalu selepas keluar menyemak gajinya di bank ditemukan terapung di Sungai Batang Igan, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat mangsa berusia 23 tahun itu dijumpai kira-kira jam 10.07 malam di Wharf Toung Aik Shipyard Sdn Bhd.
“Mayat mangsa dijumpai berada di longgokan kayu di antara kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan berkenaan.
“Setelah perbincangan dengan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), pasulan operasi pihak APM menggunakan bot untuk mengambil mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.
Katanya, pihak polis juga mengesahkan mayat yang dijumpai itu adalah mangsa yang dilaporkan hilang kira-kira jam 1 petang, 6 September lepas.
Berdasarkan maklumat daripada orang awam, motosikal jenis Yamaha Y15ZR milik mangsa telah dijumpai di atas Jambatan Lanang.
Bapa mangsa dalam laporannya, menyatakan anaknya itu telah keluar rumah untuk menyemak wang gajinya kira-kira jam 8 malam, 5 September lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.