comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki hilang ketika memukat ditemukan lemas

Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa ditemukan lemas untuk diserah kepada pihak polis.- FOTO: NSTP

SANDAKAN: Seorang lelaki yang hilang selepas keluar memukat di laut Kampung Tinusa 2, Jambatan 6, di sini, Jumaat lalu ditemukan lemas, hari ini.

Mangsa Mohd Rajik Lirinu, 35, ditemukan antara perairan Pulau Libaran dan Tanjung Pisau oleh orang awam jam 9.15 pagi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, operasi SAR hari empat diteruskan pagi tadi membabitkan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan.

“Operasi SAR turut dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Mangsa kemudian ditemui oleh nelayan di antara perairan Pulau Libaran dan Tanjung Pisau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya diambil oleh pasukan APMM dan dibawa ke jeti APMM Sandakan.

“Seterusnya mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, mangsa dikatakan keluar memukat di laut Kampung Tinusa 2, Jambatan 6, kira-kira 7 petang, Jumaat lalu.

Bagaimanapun mangsa tidak pulang dan hanya bot dinaikinya ditemui hampir karam oleh kakitangan Taman-Taman Sabah ketika membuat rondaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini