comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki Indonesia ditahan bersama empat karung syabu seberat 4.57 kg

 

Foto hiasan

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia bersama enam paket plastik berisi dadah jenis Syabu seberat 4.57 kilogram yang disembunyikan di dalam empat karung di Jeti Awam Pelabuhan Lama Tawau di sini pada 12.30 tengah hari, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata lelaki berusia 25 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang itu dipercayai memperoleh dadah bernilai RM274,320 tersebut melalui jalan darat dan kemudiannya akan diseludup ke pasaran negara jiran.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Jasmin, pihaknya mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dadah dan akan mengambil pendekatan menggunakan anjing pengesan sebagai usaha membanteras sindiket dadah di daerah ini.

Tambah beliau lagi, dalam tempoh hampir lima bulan ini, polis berjaya merampas 19.5 kilogram dadah di daerah Tawau.

Sementara itu, Jasmin berkata polis membuka satu kertas siasatan selepas memanggil 10 individu susulan penyebaran maklumat palsu berkaitan video samun bersenjata dua individu yang didakwa berlaku di Taman Berjaya di sini yang tular baru-baru ini.

“Video dari rakaman kamera litar tertutup itu telah dimuat naik di Facebook atas akaun Tawaukini bersama kenyataan ‘Taman Berjaya Tawau, 10 kes seperti ini dalam satu bulan, berhati-hati kita semua’, kejadian itu bukan berlaku di Tawau tetapi di Ayer Tawar, Perak pada 20 Mei lalu.

“Penyebaran kenyataan palsu bersama video itu juga mendatangkan khianat awam, panik atau kegusaran kepada orang awam dan siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988,” katanya lagi.

Menurutnya, lapan lelaki serta dua wanita berumur antara 20 hingga 69 tahun dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan maklumat palsu yang tular itu dan diharap selepas ini masyarakat membuat semakan daripada sumber rasmi sebelum memuat naik kenyataan di media sosial.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini