Tumpuan :
Nasional

Lelaki langgar lari penunggang motosikal ditahan

Foto hiasan

SHAH ALAM: Seorang lelaki ditahan kurang 24 jam selepas melanggar lari seorang penunggang motosikal di susur persimpangan Lebuh Turi, pada Selasa.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari, semalam sekitar daerah Klang selepas aksi berbahaya itu dirakam rakaman papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain.

Insiden berkenaan turut tular menerusi video berdurasi 30 saat di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati kejadian langgar lari itu berlaku jam 1.45 tengah hari kelmarin sewaktu suspek yang bekerja sebagai pemandu lori memandu kereta jenis Toyota Camry menghala ke Persiaran Raja Muda Musa di sini.

Katanya, kereta suspek menghimpit dan merempuh sebuah motosikal yang ditunggangi seorang wanita sebelum melarikan diri.

“Akibat rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami patah kaki sebelah kiri dan luka di beberapa bahagian badan serta menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum membuat laporan polis.

“Polis berjaya menangkap suspek dan merampas kereta digunakan hasil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari beberapa pemilik bangunan perniagaan di sepanjang laluan suspek ketika melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan memiliki 24 waran tangkap atas kesalahan trafik di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Klang Selatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek juga akan disiasat dari sudut jenayah sekiranya terdapat unsur-unsur perbuatan tersebut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini