PORT DICKSON: Seorang murid Tahun Lima yang sedang melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Port Dickson di sini cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kejadian jam 7.10 pagi itu berlaku ketika Perodua Myvi dipandu suspek dalam perjalanan dari Pekan Port Dickson menghala ke Teluk Kemang.
“Semasa murid lelaki terbabit melintas jalan ke sekolah, pemandu itu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan telah melanggarnya.
“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami patah ibu jari kaki kanan serta luka di kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, bertindak atas kejadian itu, polis telah menahan pemandu kereta terbabit yang berusia 28 tahun.
Menurut beliau, ujian saringan alkohol yang dilakukan menunjukkan bacaan alkohol pemandu berkenaan sebanyak 230mg alkohol/100ml darah (lebihan 153mg alkohol/100ml darah).
“Suspek juga direman bermula pada hari ini (Khamis) sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sabit kesalahan pemandu boleh dikenakan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.