ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Melana, berhampiran sebuah kedai di Jalan Pulai Perdana 11/7, Kangkar Pulai di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima panggilan dari Pusat Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang memaklumkan mengenai mangsa berusia 24 tahun itu pada jam 9.50 malam tadi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mayatnya juga sudah dibawa ke HSA untuk dibedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 9.29 malam dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada jam 9.38 malam, kira-kira sembilan minit selepas panggilan dibuat.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II KUP Khairul Anuar Zainal, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, mereka segera memulakan operasi pencarian menggunakan teknik ‘surface searching’.
“Mangsa ditemukan pada kedalaman dua meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Operasi membabitkan 11 anggota dengan sokongan tiga jentera iaitu sebuah FRT, sebuah CFRT, dan sebuah EMRS, ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.47 malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.