KANOWIT: Seorang lelaki maut dihempap pokok yang ditebang ketika membersihkan kebun di Jalan Lukut-Penyulau tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakkan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, mangsa Wong Sieh Ming disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi.
Katanya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit diarahkan ke lokasi kejadian sejurus panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima sekitar jam 12 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, anggota terlibat mendapati seorang mangsa lelaki didapati dalam tidak sedarkan diri dipercayai telah dihempap sebatang pokok ketika kerja-kerja memotong pokok di kawasan kebun terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa terbabit telah dipindahkan oleh orang awam ke kawasan lapang di kebun berkenaan sebelum pihak bomba tiba.
Katanya anggota di lokasi terbabit seterusnya menghubungi pihak KKM yang kemudianya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.