comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut, diikat dan dibelasah orang awam

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut dipercayai diikat dan dibelasah sekumpulan orang awam, selepas kenderaannya terbabas di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang.

Insiden dipercayai berpunca apabila mangsa dikatakan melarikan diri selepas terlibat dalam satu lagi kemalangan, berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan bagaimanapun memaklumkan sehingga kini tiada laporan polis dibuat mengenai kejadian kemalangan yang pertama.

Kejadian berlaku kira-kira 9 malam semalam apabila kenderaan yang dipandu mangsa terbabas lalu melanggar pagar kawasan perumahan tersebut.

“Mengikut siasatan awal, terdapat saksi penghuni di kawasan perumahan itu nampak mangsa yang terbabas ditarik keluar dari kereta oleh sekumpulan lelaki orang awam dan turut dipukul.

“Kemudian, tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaan.

“Bagaimanapun, apabila kenderaan peronda Polis tiba di lokasi kejadian semua individu yang berada di lokasi kejadian telah beredar,” katanya.

Pasukan Forensik PDRM Bukit Aman hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Beberapa sampel darah termasuk kesan cap jari telah diambil dan turut dirampas dua utas gumpalan tali warna hijau/coklat di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Susulan kejadian itu, polis menahan lima lelaki berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun di sekitar kawasan Semenyih dan Beranang, awal pagi tadi.

Kesemua mereka direman lima hari sehingga Ahad ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini