comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut jatuh bangunan lepas jumpa kekasih

Foto Hiasan

MELAKA: Penuntut lelaki sebuah universiti maut dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Bukit Beruang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian jam 2.50 pagi, penuntut berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh dari tingkat enam Blok C, pangsapuri 18 tingkat itu.

Siasatan awal mendapati mangsa datang untuk bertemu teman wanitanya berusia 20 tahun yang juga penuntut universiti sama di tingkat enam pangsapuri berkenaan sekitar jam 2 pagi.

“Si mati datang selepas teman wanitanya itu dikatakan tidak membalas mesej dihantarnya.

“Mereka dikatakan bertemu di koridor sebelum si mati meminta maaf kerana membuatkan kekasihnya itu cemburu kepadanya dan wanita itu memaafkannya.

“Namun ketika wanita itu masuk ke dalam rumah tiba-tiba si mati dikatakan memanjat tembok koridor itu setinggi kira-kira empat kaki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Christopher berkata, wanita itu menyangkakan teman lelakinya hanya bergurau namun terkejut melihat dia berpaut pada tembok dengan kedua-dua kaki berada di luar.

“Dia cuba menyelamatkan kekasihnya itu, namun hanya dapat mencapai sebahagian tangan si mati kerana tembok tinggi menyebabkannya terjatuh.

“Wanita itu kemudian segera menghubungi rakan sebilik kekasihnya untuk meminta bantuan,” katanya.

Siasatan pihak forensik mengesahkan tiada unsur jenayah dan khianat dalam kejadian itu.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Loading...
Terkini