GUA MUSANG: Seorang lelaki maut terbakar apabila kenderaan yang dipandu terbabit kemalangan dua kenderaan di Kilometer (KM) 10 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.18 petang itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat tersepit dan terperangkap apabila kenderaan yang dipandu terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Saga yang dipandu mangsa dan Toyota Hilux.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian terdapat kenderaan dengan seratus peratus terbakar dan membabitkan seorang mangsa didalamnya.
“Anggota bersama jentera tiba di lokasi kira-kira jam 5.28 petang dan api berjaya dipadamkan pada jam 5.47 petang. Mayat mangsa di serah kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
“Manakala penumpang hadapan Proton Saga yang cedera parah dan pemandu Toyota Hilux dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan lanjut.
“Operasi membabitkan dua jentera dan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.