Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut, rumah didiami runtuh

Keadaan sebuah rumah yang runtuh di Jalan Stampin Baru yang mengorbankan seorang lelaki, awal pagi tadi. – Foto ihsan Bomba

KUCHING: Seorang lelaki maut dalam kejadian rumah runtuh di Jalan Stampin Baru, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Lim Inn Tong, 58, ditemui di bawah runtuhan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.50 pagi.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bergegas ke lokasi yang terletak tujuh kilometer dari balai bomba.

“Sejurus tiba di lokasi, orang awam memaklumkan terdapat mangsa di dalam rumah setingkat jenis kekal itu.

“Anggota kemudian bertindak menggeledah runtuhan dan berjaya menemui seorang mangsa lelaki tidak sedarkan diri di bawah runtuhan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4.05 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini