comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali telaga

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) membantu menggali perigi yang tertimbus tanah untuk mencari mangsa dalam kejadian di Kampung Gelam Tok Uban, di sini, jam 6.17 petang tadi. – FOTO: Ihsan JBPM

PASIR MAS: Seorang lelaki maut selepas tertimbus tanah pada kedalaman 6.1 meter (m) ketika menggali perigi dalam kejadian di Kampung Gelam Tok Uban, di sini, jam 6.17 petang tadi.

Mangsa, Mohamad Khairul Jeffry Maarof, 23, ditemui oleh pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pasir Mas yang turut dibantu orang awam menggunakan jengkaut pada jam 7.15 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati terdapat mangsa tertimbus.

“Mangsa yang ditemui disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan maklumat, mangsa baru siap menggali telaga berkenaan dan mahu menurunkan gegelung konkrit, namun tebing telaga tiba-tiba runtuh sebelum menimbus mangsa.

“Seramai 10 anggota bomba membantu mencari mangsa yang tertimbus selain turut dibantu oleh beberapa penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Syafiq Mohd Noor, 28, berkata dia adalah salah seorang daripada empat orang awam yang membantu menggali tanah yang tertimbus untuk menyelamatkan mangsa.

“Mangsa diupah oleh abang saya untuk menggali perigi di kebunnya dan ia sudah hampir siap, namun tidak menyangka insiden ini berlaku sehingga meragut nyawa yang juga saudara kami.

“Kami cuba sedaya upaya menggali tanah untuk menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum dibantu oleh anggota bomba.

Pilu hati saya melihat isteri serta seorang anaknya yang masih kecil menangis melihat sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa.

“Arwah dikenali sebagai seorang yang sangat rajin bekerja dan sebelum ini sudah biasa membuat kerja menggali perigi untuk menampung kehidupan dia sekeluarga, namun tidak menyangka dia pergi buat selama-lamanya ketika sedang bekerja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini