TANAH MERAH: Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cabang Bijih, Perala dekat Sokor, di sini, semalam.
Mangsa, Rosli Dahalan, 56, dari Kampung Air Resom, Gual Ipoh di sini, disahkan maut dalam kejadian kira-kira 4 petang.
Difahamkan, mangsa ke lokasi itu untuk mencari emas sebelum berlaku runtuhan tanah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang, Disagar Mani Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 4.11 petang.
Katanya, enam anggota yang diketuai oleh Komander Operasi BBP Kemahang, Rohapzal Mohd Hussain ke lokasi kejadian dan mendapati seorang mangsa tertimbus tanah.
“Pihak kita membantu mengeluarkan mayat mangsa sebaik jentera sampai pada jam 4.43 petang dan operasi tamat sekitar jam 6 petang.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan dihantar ke Hospital Tanah Merah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.