Tumpuan :
Nasional

Lelaki meninggal dunia disyaki terkejut tilam di bawah kolong rumah terbakar

KOTA KINABALU: Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai terkejut selepas tilam di bawah kolong rumahnya terbakar di Kampung Sembulan, di sini, malam ini.

Mangsa Akmad Muhammad, 51, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan lemah dan sedang sakit.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira 7.10 malam.

Katanya, seramai tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke tempat kejadian.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kebakaran membabitkan tilam di bawah kolong sebuah rumah.

“Tiada pemadaman dilakukan kerana api sudah dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, terdapat seorang mangsa lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada 7.48 malam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini