Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki Myanmar korek keluar bebola mata ketika bergaduh mengaku bersalah

Murtabis dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini. – FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Lelaki warga Myanmar yang disyaki mengorek keluar bebola mata seorang lelaki tempatan sehingga mangsa mengalami kecacatan kekal dalam insiden pergaduhan di Tasek Gelugor pada Sabtu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Murtabis, 28, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Penolong Pendaftar, Mohamad Azrul Muhd Sobri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 52 tahun di tepi jalan Flat Rethina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, kira-kira jam 2 petang 16 November lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun dan denda.
Sementara itu di mahkamah sama, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki apa-apa pas yang sah mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Simpang Tiga, Tasek Gelugor, kira-kira jam 3 petang hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Pada kedua-dua prosiding itu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin berikutan tertuduh bukan warganegara.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, dan menetapkan tarikh 13 Disember depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki parah selepas bebola mata kirinya dikorek keluar oleh seorang lelaki warga asing dalam insiden pergaduhan di tepi jalan berdekatan sebuah flat di Jalan Ara Kuda, Sabtu lalu.

Insiden dipercayai berlaku berikutan suspek berang dengan tindakan mangsa yang didakwa sering mengganggunya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, dilaporkan berkata kejadian terbabit menyebabkan mata mangsa tidak dapat diselamatkan dan dipercayai akan mengalami kecacatan kekal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini