comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki Myanmar miliki kad UNHCR palsu ditahan

JERTIH: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu kerana memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam Op Kutip dan Op Belanja di bandar Jertih, di sini, semalam.

Pengarah JIM Terengganu, Azhar Abd Hamid berkata, lelaki itu adalah seorang daripada keseluruhan 25 pendatang asing tanpa izin berusia 20 hingga 55 tahun yang ditahan JIM dalam operasi yang bermula pada 7 pagi dan berakhir pada 7 malam di sekitar Besut.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu bergerak bebas tanpa rasa takut kerana menyangka tindakannya memiliki kad palsu itu tidak akan dikesan pihak berkuasa.

Menurut warga Myanmar itu, dia dikenakan bayaran sebanyak RM150 untuk mendapatkan kad UNHCR itu daripada rakan di Johor Bahru sebelum ke Terengganu, Oktober tahun lalu.

“Kita tidak tahu bahawa kad UNHCR yang diperolehi daripada rakan itu adalah palsu,” dakwanya.

Sambil mengakui terkejut apabila mendapati pemilik kad UNHCR adalah seorang wanita, katanya, rakannya itu juga berjanji untuk menyediakan dokumen lain, termasuk permit kerja dengan bayaran antara RM1,000 hingga RM5,000.

Sementara itu, Azhar berkata, daripada 154 warga asing termasuk empat kanak-kanak yang diperiksa, 25 orang ditahan di bawah Akta Imigresen kerana tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa atau melanggar syarat pas.

Azhar berkata, kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen iaitu Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, 15 (1) (c) kerana tinggal lebih masa serta Peraturan 39 (b) kerana melanggar syarat pas dan kesemua mereka kemudian dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut.

Katanya sebuah kedai menjual pelbagai barangan diusahakan warga asing turut dikenal pasti dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

“Turut disita empat motosikal termasuk barang jualan sate ikan manakala sebuah kereta yang dipandu lelaki Myanmar itu akan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Setakat semalam JIM Terengganu melaksanakan 102 operasi di seluruh negeri sejak awal tahun ini membabitkan penahanan 209 pendatang asing tanpa izin atas pelbagai kesalahan melibatkan lebih 1,400 orang yang diperiksa.

Dalam pada itu, Azhar turut mengingatkan majikan untuk tampil mengambil biometrik pekerja masing-masing yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) sebelum proses verifikasi tamat pada 31 Mac depan.

“Ini disebabkan statistik yang kami ada seramai 6,000 lebih yang mendaftar Program RTK 2.0 tetapi hanya lebih 3,000 majikan saja yang datang mengambil biometrik pekerja masing-masing setakat ini, dan masih ada dua bulan lagi tempoh untuk mereka datang ke pejabat JIM untuk tujuan itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini