comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki Pakistan pengsan di mahkamah, dikejar ke hospital

Warga Pakistan, Naveed Khan yang dituduh di Mahkamah Majistret di bawa dengan ambulans mendapatkan rawatan di hospital selepas pengsan akibat sesak nafas sebaik pertuduhan selesai dibacakan. – Foto: NSTP

BATU PAHAT: Seorang daripada sembilan lelaki warga Pakistan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan dikejarkan ke hospital selepas dilaporkan pengsan akibat sesak nafas.

Insiden berlaku selepas selesai sebutan kes di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Tertuduh Naveed Khan, 22, bersama lapan berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Selain Naveed, tiga lagi dituduh mengikut akta sama ialah Mohamad Zeb, 26; Anwar Zeb Khan, 56; Farukh Khan, 30; Ubaid Ullah, 25 dengan semua kejadian ini berlaku di sebuah rumah Jalan Parit Tengah, Parit Raja, 12.10 tengah malam, 6 September lalu.

Sementara itu, Uzair Jalal, 22, dan Junaid Khan, 32, pula didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama kerana pasport tamat tempoh, yang mana kejadian berlaku di sebuah rumah Jalan Pasar, Parit Raja, 9 malam, 3 September lalu.

Tiga lagi rakan senegara mereka, Naeem Ullah, 26, Junaid Khan, 32, dan Najeeb Ullah, 32, didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana mencuri kereta milik lelaki berusia 53 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di belakang sebuah kedai makan, Batu 13 Jalan Kluang-Parit Raja, jam 6 petang, 30 Ogos lalu.

Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen memperuntukkan denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya dan rotan tidak lebih enam kali manakala Seksyen 15(1)(c) denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi Seksyen 379A, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 17 Oktober ini bagi sebutan semula kes serta lantikan jurubahasa Pakistan memandangkan hampir kesemuanya tidak memahami bahasa Melayu.

Pada masa sama, mahkamah juga memerintah tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan dua penjamin warga tempatan.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan kesemua tertuduh melapor diri di Balai Polis Parit Raja setiap 1 dan 15 haribulan serta mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Loading...
Terkini