comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki parah, dipercayai diserang beruang

 

Siti Jamilah (kiri) bersama ayahnya menunjukkan gambar abangnya Mohammad Zaki yang cedera dipercayai diserang beruang. (Foto Paya Linda Yahya)

GUA MUSANG: Seorang lelaki cedera parah dipercayai diserang beruang ketika keluar memikat burung di kawasan kebun di Kampung Dalam Senduk, Jerek, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, cedera teruk dengan kesan koyakan di kepala dan kaki serta mata akibat cakaran haiwan liar itu.

Menurut ayah mangsa, Che Mohamed Konok, 70, dia dimaklumkan kejadian yang menimpa anak kelima daripada sembilan beradik jam 4 petang ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jerek.

Katanya, dengan bantuan penduduk kampung dia bergegas membawa mangsa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut dan seterusnya di rujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Kira-kira jam 4 petang saya menerima panggilan daripada adik mangsa yang memaklunkan abangnya berada di Klinik Kesihatan Jerek, ketika itu saya belum dimaklumkan keadaan sebenar.

“Apabila sampai di klinik saya terkejut apabila melihat anak dalam keadaan berlumuran darah dan berada dalam keadaan lemah serta mengalami cedera parah di bahagian kepala dan kaki.

“Melihat keadaannya yang cedera parah dan tidak boleh bercakap, kami bergegas membawa ke Hospital Gua Musang dan kira-kira jam 3 pagi tadi hantar ke HUSM,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang, di sini.

Manakala menurut adik mangsa, Siti Jamilah Che Mohamed, 22, berkata dia dimaklumkan oleh seorang penduduk tentang kejadian yang menimpa abangnya itu.

Katanya, abangnya itu tinggal sendiri di rumah lama yang juga terletak di kawasan kebun namun tidak pernah dimaklumkan tentang kewujudan haiwan liar itu.

“Mengikut apa yang diceritakan rakannya, dia diserang beruang dan keluar dari kebun seorang diri sebelum mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung.

“Kejadian ini sangat mengejutkan kami sekeluarga dan berharap abang akan sihat sepenuhnya. Abang sudah dihantar ke HUSM dan kami dimaklumkan doktor akan melakukan pembedahan pada kepala dan kakinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian yang berlaku.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat tentang kejadian pada jam 9.57 malam tadi oleh bapa mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini