Tumpuan :
Nasional

Lelaki parah ditetak kenalan 

TAMPIN: Seorang lelaki cedera parah ditetak kenalan di rumahnya dekat Ayer Kuning Selatan, Gemencheh, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku jam 3.30 pagi itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek

Mangsa seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, susulan kejadian itu, suspek yang juga lelaki warga tempatan berusia 31 tahun ditahan

“Anggota kaunter pertanyaan Balai Polis Ayer Kuning Selatan menerima panggilan telefon daripada orang awam menyatakan ada seorang lelaki berlumuran darah akibat dicederakan.

“Berdasarkan maklumat itu anggota kami bergegas ke lokasi. Maklumat awal mendapati mangsa seorang lelaki berumur 45 tahun diserang seorang lelaki yang dikenalinya ketika berada di rumahnya di Ayer Kuning Selatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Amiruddien berkata, siasatan awal dijalankan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada selisih faham mengenai urusan pekerjaan yang mana suspek dan mangsa adalah kenalan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian bahu, perut, kaki dan belakang badan.

Mangsa kini menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tampin.

“Ekoran itu, bertindak atas maklumat yang diperolehi pihak polis membuat tangkapan seorang lelaki berumur 31 tahun di kawasan Ayer Kuning Selatan tidak lama kemudian bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman diperolehi selama tujuh hari bermula hari ini. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Justeru beliau berkata, ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta untuk tampil ke Balai Polis Tampin dan boleh menghubungi di talian 064411222 atau 064431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini