comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki pukul kepala pemandu wanita ditahan di Serdang, Selangor

TAPAH: Suspek lelaki yang dirakam memukul kepala seorang pemandu wanita ketika dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tapah, semalam berjaya ditahan di Serdang, Selangor petang tadi.

Artikel berkaitan: Lelaki pukul kepala pemandu wanita ditahan polis

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata penyelia kilang berusia 29 tahun itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, polis daerah Tapah telah menerima laporan polis dibuat seorang wanita berumur 24 tahun yang dibuat di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pada jam 10 pagi tadi.

Susulan itu, usaha dilakukan bagi mengesan suspek berdasarkan semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan yang dinaikinya.

Usaha mengesan suspek telah berjaya dibuat di sekitar daerah Serdang, Selangor.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku jam 5.33 petang semalam semasa pengadu dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.

Menurut Datuk Seri Mohd Yusri dalam satu kenyataan, pengadu mendakwa dia kemudian berusaha untuk memotong sebuah kereta Protan Persona warna kelabu di hadapan, namun tidak berjaya.

Tambahnya, pengadu juga mendakwa bahawa suspek kemudian telah menunjukkan isyarat lucah kepadanya.

Dakwa pengadu lagi, suspek telah turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta pengadu ketika jalan sesak berhampiran pusat peranginan Lata Iskandar.

Dan apabila pengadu membuka cermin keretanya, suspek telah memarahi pengadu dan secara tiba-tiba memukul kepala pengadu serta mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.

Rakaman kejadian berdurasi 59 saat  itu tular di media sosial.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini