Tumpuan :
Nasional

Lelaki rugi RM347,000 selepas ditipu keuntungan 150 kali ganda

DUNGUN: Seorang lelaki yang mengimpikan pulangan lumayan 150 kali ganda terpaksa berputih mata apabila menyedari dirinya ditipu dalam skim pelaburan tidak wujud.

Akibatnya, lelaki berusia 42 tahun itu bukan sahaja gagal meraih keuntungan, malah mengalami kerugian besar sebanyak RM347,000.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, semalam.

Menurutnya, mangsa mendakwa menyertai skim pelaburan terbabit pada Mac tahun lalu dan berhubung dengan suspek yang menawarkan skim secara dalam talian.

“Mangsa membuat transaksi pertama sebanyak RM20,000 kepada sebuah syarikat. Sebaik membuat pemindahan wang, mangsa melakukan akad pelaburan sebagai mengikat persetujuan pelaburan itu.

“Menerusi akad pelaburan itu, suspek menjanjikan keuntungan sebanyak 150 kali ganda, empat atau lima kali seminggu dan dibayar keuntungan setiap hari bergantung hari yang didagangkan.

“Akibat percaya dengan perjanjian itu, mangsa membuat 19 transaksi ke tiga akaun berbeza,” katanya.

Katanya, pengadu mula menyedari dia tertipu selepas pelaburan itu hanya berjalan selama 40 kali bayaran keuntungan sahaja.

“Pengadu telah berjumpa suspek untuk bertanya mengenai masalah itu dan suspek berjanji akan menyambung semula ‘trade in’ pada September 2024. Bagaimanapun, selepas dua minggu pertemuan itu, suspek gagal dihubungi,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini