Tumpuan :
Nasional

Lelaki seret kucing dengan tali, saksi diminta tampil buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Tindakan kejam seorang lelaki mengheret kucing secara paksa dengan mengikat leher haiwan itu menggunakan tali, nyata mengundang kemarahan orang ramai.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 2.44 petang, hari ini.

Menurutnya, kucing berkenaan didakwa diikat menggunakan tali di leher dan diseret tanpa dipedulikan oleh seorang lelaki sehingga haiwan itu terkencing bagi menahan kesakitan.

“Kami memohon saksi utama yang merakam kejadian itu tampil membuat laporan polis dan pengesahan pelaku penjenayah itu supaya Sistem Keadilan Jenayah Haiwan dapat dijalankan dengan baik.

“Animal Malaysia sudi menawarkan ganjaran sebanyak RM3,000 (untuk urusan pengurusan) kepada saksi utama yang tampil membuat laporan, menjadi saksi dengan konsisten hingga penjenayah itu ditangkap, berjaya didakwa dan dijatuhi hukuman,” katanya dalam kenyataan di Facebook persatuan itu.

 

Menurutnya, pihak bertanggungjawab juga boleh merujuk kepada pihak pengurusan bangunan untuk mendapatkan jejak kamera litar tertutup (CCTV) sebagai bukti kejadian.

ARIE Dwi Andika memohon saksi yang melihat seorang lelaki mengikat leher kucing dan mengheret haiwan itu untuk tampil bagi mendakwa ke muka pengadilan. FOTO NSTP

Katanya, kali ini polis dan Timbalan Pendakwa Raya tidak boleh menganggap kes seumpama itu sebagai satu kemalangan atau kesilapan kecuaian, sebaliknya Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 boleh diguna pakai.

“(Iaitu) dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan, menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya atau sebagai pemunya, membenarkan apa-apa kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada mana-mana haiwan.

“Ini memandangkan terdapat dua kes di Pulau Pinang di mana masing-masing seekor kucing dan anjing cedera parah akibat tergantung di belakang kenderaan dalam keadaan diikat dan diseret sewaktu kenderaan sedang bergerak.

“Ruang alasan untuk melepaskan penjenayah perlu ditutup sepenuhnya dan pendakwaan perlu dilakukan supaya keadilan terhadap haiwan dapat berjalan dengan baik,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Penyiasatan Malaysia.

Terdahulu, video berdurasi 14 saat tular, memaparkan lelaki terbabit sedang mengheret seekor kucing dengan tali yang diikat pada leher haiwan berkenaan.

Turut kedengaran dalam video itu, suara kucing yang menahan kesakitan namun haiwan itu terus diseret tanpa perikemanusiaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini