Tumpuan :
Nasional

Lelaki seret kucing: Kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar

KUALA LUMPUR: Kes membabitkan seorang lelaki mengheret kucing secara paksa dengan mengikat leher haiwan itu menggunakan tali di sebuah kondominium di sini, dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada seorang individu pada 5.38 petang hari ini.

Menurutnya, pengadu melihat satu video daripada sebuah aplikasi memaparkan individu tidak dikenali melakukan penderaan terhadap seekor kucing dengan cara menarik tali yang diikat pada leher haiwan berkenaan.

“Di video berkenaan terdapat alamat (dipercayai lokasi kejadian) yang tertera di ruang komen, beralamat di Jalan Klang Lama, di sini, dan pengadu datang membuat laporan untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan oleh Jabatan Veterinar mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, laporan polis juga sudah dihantar kepada penguat kuasa Veterinar Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Harian Metro melaporkan, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika memohon saksi utama yang merakam kejadian itu tampil membuat laporan polis dan pengesahan pelaku terbabit supaya Sistem Keadilan Jenayah Haiwan dapat dijalankan dengan baik.

Arie dilaporkan berkata, ruang alasan untuk melepaskan penjenayah perlu ditutup sepenuhnya dan pendakwaan perlu dilakukan supaya keadilan terhadap haiwan dapat berjalan dengan baik.

Terdahulu, video berdurasi 14 saat itu memaparkan seorang lelaki sedang mengheret seekor kucing dengan tali yang diikat pada leher haiwan berkenaan dan turut kedengaran dalam video itu, suara kucing yang menahan kesakitan, namun terus diseret.

Video berkenaan juga meraih perhatian ramai dan mengundang kemarahan orang ramai terutama pencinta haiwan yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap perbuatan lelaki itu yang disifatkan kejam dan tidak berperikemanusian.

Sebelum ini, terdapat dua kes di Pulau Pinang di mana masing-masing seekor kucing dan seekor anjing cedera parah akibat tergantung di belakang kenderaan dalam keadaan diikat dan diseret ketika kenderaan sedang bergerak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini