Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki tenggelam ketika pukat ikan di Sungai Tajar ditemui lemas

Mohamad Fauzi Omar ditemui lemas kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan tenggelam di Sungai Tajar, Kampung Gelam di Jalan Datuk Kumbar.- FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Pekerja kilang, Mohamad Fauzi Omar, 33, yang hilang selepas tenggelam di Sungai Tajar, Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini semalam, ditemui lemas hari ini .

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 2.50 petang tadi selepas melakukan pencarian di permukaan air menggunakan bot.

Menurutnya, mangsa ditemui separa terapung kira-kira 100 meter dari lokasi dilaporkan tenggelam, semalam.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis pada jam 3.05 petang untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Naufal berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani yang melakukan selaman di lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Beliau berkata, selain itu, operasi turut disertai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar.

Sementara itu, rakan mangsa, Wan Saifulnizam Wan Ahmad Shukri, 36, berkata, dia bersyukur kerana mayat rakan baiknya itu akhirnya ditemui.

“Memang saya sedih sebab hilang rakan baik kerana kami akrab sejak kecil.

“Saya tidak tahu nak beritahu bagaimana sebab terlalu sedih apabila nampak jasadnya dibawa naik ke tebing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Allahyarham hanya sempat menangkap tiga ikan lampam sebelum kejadian berlaku.

Tambahnya lagi, jenazah kini dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat dijangka akan dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Tualang, Pokok Sena.

Wan Saifulnizam berkata Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang turut berada sepanjang operasi dilakukan di sungai berkenaan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika sedang memukat ikan bersama dua rakannya di Sungai Tajar, Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, jam 5 petang semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini