Oleh: Fazli Ahmad
ROMPIN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot di Jeti Sungai Puteri, Kuala Rompin Sabtu lalu, ditemui lemas pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui sekitar jam 11:45 pagi, terdampar di benting pasir berhampiran kuala Sungai Rompin.
Menurut beliau, mayat mangsa yang dikenali sebagai Syed Khalid Syed Ahmad Munshee, 50, ditemui oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota bomba, polis serta dibantu oleh penduduk kampung setempat.
“Lokasi mayat lelaki tersebut ditemui dianggarkan dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
Mangsa yang berasal dari Tanjung Pahang Tua, Pekan, dilaporkan terjatuh ketika sedang melakukan ujian bot bersama seorang rakannya berhampiran Jeti Sungai Puteri pada sekitar jam 6.00 petang, Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, rakan mangsa turut terjatuh tetapi terselamat.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.