comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki tersangkut atas pokok, kaki cedera ditimpa dahan 

SIK: Seorang lelaki cedera di kaki kiri selepas dihempap dahan pokok sebesar 0.25 meter yang dipotongnya ketika sedang melakukan kerja pemotongan pokok di belakang kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Dusun, di sini hari ini.

Lelaki berusia 35 tahun itu dikatakan sedang memangkas dahan pokok berkenaan seorang diri sebelum kejadian berlaku dan disedari kakitangan sekolah yang menghubungi pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.50 petang.

“Anggota Bomba menggunakan tangga dan peralatan khas bagi membantu mengeluarkan mangsa dari celahan pokok berikutan mangsa mengalami kecederaan di kaki.

“Operasi menurunkan mangsa bersama seunit gergaji berantai dilakukan ketika hujan lebat yang mengambil masa hampir 10 minit.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sik dengan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Zulkhairi turut menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di daerah ini supaya melakukan kerja penebangan pokok dengan berhati-hati dan memakai pakaian serta peralatan yang sesuai bagi mengelak kecederaan berlaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini