comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki Thailand dipercayai jatuh sungai, ditemui lemas

FOTO: JBPM

TANAH MERAH: Lelaki warga Thailand yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Golok di Kampung Bendang Besar, di sini, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Othman Sapie, 59, dijumpai terapung di tebing sungai oleh anggota bomba dengan bantuan penduduk kampung pada jam 9.58 pagi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula mulai jam 8 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang, Disagar Mani Mustafa, berkata mayat ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan terapung di sungai kira-kira 800 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mangsa dikatakan terjatuh ke sungai di Pangkalan Jagong, di sini, Sabtu lalu, sebelum pihak berkuasa Thailand menjalankan operasi SAR di sungai itu.

Operasi itu bagaimanapun gagal mengesan mangsa sebelum pihak berkuasa Thailand meminta bantuan pihak bomba negeri ini.

Susulan itu, seramai 18 pegawai dan anggota dari BBP Kemahang, Tumpat, Pengkalan Kubor serta Pengkalan Chepa, memulakan operasi SAR, semalam. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini