comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki, wanita melecur hampir seluruh badan kebakaran kereta dan motosikal

Dua individu melecur hampir keseluruhan badan dalam kebakaran membabitkan sebuah kereta dan motosikal di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham, Ipoh hari ini. Foto ihsan BBP Ipoh.

IPOH: Dua individu melecur hampir keseluruhan badan dalam kebakaran membabitkan sebuah kereta dan motosikal di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Azman Hussin berkata kebakaran itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal jenis Honda C70, dengan mangsa membabitkan seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 60-an dan 50-an.

Hubungan antara kedua-dua mangsa itu sehingga kini belum dipastikan.

Menurutnya, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima jam 10.20 pagi dengan sepasukan 10 anggota diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Ketibaan bomba di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mangsa sudah terbaring di tepi kereta dipercayai sudah dibawa keluar oleh orang awam,” katanya.

Menurutnya lagi, dua mangsa berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Punca kejadian masih disiasat.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata tidak dapat dipastikan sama ada dua mangsa itu berada di dalam MPV atau atas motosikal berkenaan sebelum kejadian berlaku.

Ditanya sama ada kebakaran itu berpunca daripada kemalangan, jurucakap berkenaan sekadar menyatakan punca kejadian masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini