comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga emas maut terjatuh dari jejantas lebih 5 meter

Lokasi kemalangan membabitkan seorang warga emas yang dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh lebih lima meter dari jejantas dalam kemalangan di Kilometer 10.1 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE),petang semalam.-Foto: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas terjatuh dari jejantas setinggi lebih 5 meter dalam kemalangan di Kilometer 10.1 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa warga tempatan berusia lingkungan 60an dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata kemalangan itu hanya melibatkan sebuah motosikal yang penunggangnya dipercayai terbabas sendiri.

“Hasil siasatan awal, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal dari arah Seberang Jaya menghala Kubang Semang yang mana ketika tiba di lokasi (atas jejantas) didapati mangsa telah terbabas lalu melanggar penghadang besi sebelum terjatuh ke bawah.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan.

“Mangsa kemudian dibawa ke HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 04-5301342 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini