SIK: Seorang lelaki warga emas cedera di badan selepas diserang dan disengat tebuan ketika berada di dusun buah-buahan miliknya di Kampung Jelutong, di sini, hari ini.
Mangsa, Ahmad Dahaman, 72, dihantar ke Hospital Sik (HS) dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, mangsa dipercayai diserang tebuan ketika hendak turun dari pokok dokong di kebunnya itu.
“Pasukan APM Sik dengan kekuatan lima anggota ke lokasi kejadian dan membawa keluar mangsa dari lokasi sebelum diserahkan kepada ambulans HS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Orang ramai boleh menghubungi APM Sik untuk sebarang kes kecemasan di talian 010-8177991.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.