Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga Pakistan ditemukan lemas di Port Dickson

Pasukan Penyelamat membawa mayat warga Pakistan yang ditemui lemas di Pantai Batu 5, Port Dickson. – FOTO: Ihsan APMM

PORT DICKSON: Seorang lelaki warga Pakistan ditemukan lemas di perairan Pantai Batu 5, Port Dickson, petang tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh Pusat Operasi Maritim Negeri Johor lebih kurang jam 12.30 tengah hari tadi.

“Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru.

“Adik mangsa, Amir Ahmad, 22 tahun, turut mengesahkan insiden tersebut dan memberikan maklumat lanjut kepada pihak berkuasa sejurus melaporkan kejadian yang menimpa abangnya, Wasif Shehzad, 23,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini tadi.

Jelasnya, sejurus menerima laporan, operasi CARILAMAT segera diaktifkan dengan penglibatan pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Seramai lebih 46 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi berada di lokasi bagi menjalankan operasi pencarian di kawasan itu.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan Bot PERKASA 37 bersama enam anggota bagi melakukan pencarian di perairan, manakala JBPM mengatur gerak bot aluminium dengan 11 anggota penyelam untuk menyelam di kawasan kejadian,” ujarnya.

Mohd Khairi berkata, Pos Kawalan Hadapan (PHC) turut didirikan di Pantai Batu 5, Jalan Pantai, Port Dickson bagi memudahkan tugas Carilamat.

“Pada lebih kurang jam 3.13 petang, penyelam JBPM menemukan mangsa kira-kira 100 meter dari pesisir Pantai Batu 5, Port Dickson.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke pantai menggunakan bot aluminium dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan kematian mangsa pada pukul 3.32 petang,” katanya.

Mayat kemudian di hantar ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati – hati ketika melakukan aktiviti di kawasan pantai serta sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling.

“Sebarang kecemasan atau aktiviti mencurigakan di laut boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan melalui talian 06- 3876730 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini