comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga tempatan ditahan ketika isi diesel dalam lori diubah suai

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga tempatan ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam lori yang diubah suai dengan tangki tambahan, di sebuah stesen minyak di Jalan Jelapang, Ipoh, Perak menerusi Ops Tiris 3.0.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, serbuan pada kira-kira jam 4 petang Jumaat lalu itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya.

 

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan sebelum operasi dilaksanakan.

“Hasil maklumat awal diperolehi, modus operandi sindiket ini ialah menggunakan lori yang diubah suai dengan tangki tambahan dan mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak sebelum minyak diesel tersebut dikumpulkan dan diedarkan di pasaran gelap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, serbuan dilakukan setelah melihat lori berkenaan sedang mengisi bahan bakar terbabit dalam keadaan mencurigakan dan dalam tempoh lama di stesen minyak tersebut.

Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 1,700 liter di dalam sebuah tangki tambahan di dalam ruangan muatan lori yang bersambung dengan tangki asal kenderaan.

Selain itu, beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel turut ditemui.

Datuk Azman berkata, sebuah lori berserta tangki tambahan yang mengandungi minyak diesel, hos paip, motor pam dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemui dalam lori tersebut disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,655.

Ujarnya, seorang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun yang juga merupakan pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan dan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat sekiranya disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala untuk kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram.

“Ia bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 613 boleh dipenjarakan selama tempoh maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pada masa sama, Datuk Azman menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi untuk menyalurkan aduan lengkap serta tepat kepada pihak KPDN.

Aduan boleh dibuat menerusi aplikasi WhatsApp di 019-279 4317/019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini