comscore
Tumpuan :
Nasional

Lembaga Angkasa Malaysia Setuju Kerajaan Meratifikasi Triti Angkasa Lepas Antarabangsa

Foto: Harian Metro

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lembaga Angkasa Malaysia secara dasar bersetuju supaya kerajaan meratifikasi triti-triti angkasa lepas antarabangsa selaras dengan keutamaan dan kepentingan negara.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, perkara itu diputuskan dalam sidang kali pertama Lembaga Angkasa Malaysia semalam.

“Keutamaan semasa kerajaan ketika ini adalah triti berkaitan keselamatan dan liabiliti yang terkait isu insiden penemuan objek yang disyaki serpihan roket di sekitar Sarawak.

“Berkaitan isu penemuan objek disyaki, perkara ini sedang dalam siasatan lanjut pihak Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Jabatan Kimia Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 31 Julai lalu, media melaporkan terdapat serpihan roket Long March 5B milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

Dua objek dipercayai serpihan roket dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri manakala satu objek ditemui di Rumah Panjang Renyam, Sungai Asan Bayu, Sibu pada 14 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, MOSTI berkata, Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) telah diwartakan pada 25 Januari lalu dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba telah menetapkan 4 Ogos lalu sebagai tarikh mula kuat kuasa Akta 834 bagi Bahagian I, II, VII, IX, Seksyen 64 dan Seksyen 72.

Jelasnya, bagi memastikan pelaksanaan Akta 834 yang efektif dan berkesan, Lembaga Angkasa Malaysia telah ditubuhkan selaras dengan Seksyen 5 (1) dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan bersama keahlian anggota daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Majlis Keselamatan Negara.

“Antara fungsi utama lembaga ini adalah mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, pendaftaran objek angkasa dan peruntukan bagi kesalahan aktiviti angkasa.

“Ia juga akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat, terjamin serta mematuhi segala peraturan dan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa,” katanya.

Lembaga Angkasa Malaysia juga bertanggungjawab untuk menasihati kerajaan mengenai perkara-perkara berhubung pelaksanaan dan pentadbiran Akta 834, selain melaksanakan atau mengadakan peruntukan bagi pelaksanaan obligasi yang berbangkit daripada perjanjian, konvensyen atau triti antarabangsa berkaitan akta ini.

Loading...
Terkini