comscore
Tumpuan :
Nasional

Lemon Law: Bentang akta baharu atau pinda akta sedia ada Mac depan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mewujudkan akta baharu atau meminda undang-undang sedia ada berkaitan ‘Lemon Law’ di Parlimen seawal Mac tahun depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, untuk tujuan itu, pihaknya telah melantik pakar perunding bagi melaksanakan kajian amalan terbaik yang diamalkan di beberapa negara berhubung undang-undang berkenaan mulai bulan ini.

Menurutnya, pakar yang dibentuk pada 1 Jun lalu dan terdiri daripada pakar-pakar perundangan itu juga akan melaksanakan beberapa siri libat urus bersama pemegang taruh sebelum mengemukakan dapatan pada September depan.

Lemon Law adalah undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak serta gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.

“Mereka akan memulakan kerja bermula Jun hingga penghujung September dan sebaik itu mereka akan mengemukakan laporan komprehensif untuk dibentangkan kepada kementerian.

“Laporan itu akan jadi asas kepada pertimbangan bagi kementerian untuk dapatkan keputusan dasar sama ada perlu wujud satu akta khusus bagi Lemon Law atau kita melaksanaan pindaan kepada akta sedia ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis
Perasmian Penutup Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 berkaitan Pelaksanaan Lemon Law, di sini hari ini.

Jelas beliau, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan perlindungan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.

Ketika ini, empat akta iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Belia 1967 turut mempunyai komponen Lemon Law.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamadkan, KPDN akan melaksanakan dua strategi interim pendayaupayaan perlindungan pengguna.

Strategi itu adalah penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di KPDN sebagai pemudah cara bagi aduan pengguna berkaitan kenderaan bermotor di negara ini yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.

“Kaedah rundingan yang akan digunakan adalah rundingan ‘Tripartite’ antara kementerian, pembeli kereta dan pengedar atau pengilang. Melalui rundingan khas ini, diharapkan satu solusi yang adil dan seimbang yang melibatkan semua pihak dapat dicapai,” katanya.

Strategi lain adalah pengukuhan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ujar Armizan, KPDN sedang dalam proses mendapatkan kerjasama BNM supaya satu penyelarasan dan penyeragaman berkenaan surat persetujuan dibuat antara institusi perbankan bagi membolehkan pengguna membuat tuntutan tebus rugi di tribunal atau mahkamah.

“Pada masa kini, antara kekangan yang dihadapi oleh pengguna apabila ingin menuntut tebus rugi berkaitan kenderaan baharu yang rosak di TTPM adalah kesukaran mendapatkan surat persetujuan daripada bank atau institusi kewangan disebabkan oleh isu pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967.

“Tafsiran pemilikan kenderaan bawah akta tersebur adalah pemilik kenderaan merupakan bank atau institusi kewangan dan penyewa kenderaan pula merupakan pengguna, dan hak milik kenderaan hanya akan diserahkan kepada pengguna apabila selesai pembayaran,” katanya.

Untuk rekod, sejak 2019 hingga kini, sebanyak 557 kes membabitkan kereta baharu difailkan di TTPM dengan 523 daripadanya telah selesai manakala baki 34 kes belum selesai.

Selain itu, TTPM turut menerima 1,201 kes membabitkan kereta terpakai dengan 1,142 kes telah selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini