comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Lepas ni tak boleh peluk dah..’

 

TANJUNG MALIM: “Tunggu tau Attar di syurga. Nanti dah tak boleh peluk dah, sebab keluarga Attar dah pergi alam lain.”

Demikian kata-kata susuk kecil bernama Attar Azim Syukran Jamil, 9, semasa menyiram air ke atas pusara ibu bapanya, Syukran Jamil Ab Hamid dan Noor Aishah Razali, masing-masing berusia 35 tahun serta dua adiknya, Ahya Rafiqi Syukran Jamil, 6, dan Lufya Adeena yang berusia setahun.

Empat beranak itu maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kelantan pada Sabtu, menyebabkan Attar menjadi yatim piatu dan kehilangan semua adiknya dalam sekelip mata.

Attar Azim, 9, sebak selepas jenazah ibu bapa dan dua adiknya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, di sini, malam tadi.- Foto: NSTP

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, ibu bapanya selalu berpesan tentang persediaan untuk memasuki Ramadan serta adab dengan orang tua.

“Abah kata, kena doa banyak-banyak supaya boleh puasa. Abah kata puasa tu best, ada banyak pahala tapi abah kata kena doa banyak-banyak. Ada orang yang tak dapat puasa, jadi dia tak dapat kumpul banyak pahala.

“Mak kata pula kalau belajar pandai, tapi tak hormat ibu bapa tiada guna,” katanya sebak semasa ditemui pemberita sejurus selesai pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, di sini, malam tadi.

Terdahulu, jenazah empat beranak itu dibawa menaiki tiga van dari Hospital Sultan Ismail Petra dan tiba di kediaman keluarga di Felda Trolak Utara, di sini jam 9.30 malam.

Attar Azim, 9, (tengah) mendoakan kesejahteraan ke atas ibu bapa dan dua adiknya yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Trolak Utara, malam tadi- NSTP

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek Al-Ridhuaniah dan disolatkan oleh lebih 200 jemaah, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara jam 10.10 malam dan selamat dikebumikan 50 minit kemudian dalam satu liang lahad.

Dalam pada itu, datuk kepada Attar, Razali Abdullah Hamid, 61, berkata ahli keluarga kedua-dua belah masih berbincang berkenaan hak penjagaan Attar memandangkan ramai antara mereka sanggup mengambil tanggungjawab itu.

Menurutnya lagi, Attar perlu menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Slim River minggu hadapan untuk memastikan tiada kecederaan dalaman lain akibat impak pelanggaran terbabit.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari Sabtu lalu, Perodua Myvi dinaiki Syukran Jamil sekeluarga bertembung dengan sebuah Nissan March mengakibatkan Syukran Jamil, Noor Aishah dan Lufya Adeena maut di lokasi kejadian.

Anak kedua pasangan berkenaan, Ahya Rafiqi pula meninggal dunia pada jam 3.15 petang Sabtu, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan.

Attar Azim adalah satu-satunya penumpang di dalam Perodua Myvi itu yang terselamat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Harap Attar tabah kehilangan empat ahli keluarga

Loading...
Terkini