comscore
Tumpuan :
Nasional

Letupan bom Sungai Golok: 4 anggota keselamatan Thai cedera

KOTA BHARU: Empat anggota keselamatan Thailand cedera apabila terkena letupan bom yang dipercayai diletakkan oleh penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok, Thailand, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Pol Col Jadsadavit Inprapan berkata, kejadian berlaku pada 12.05 tengah malam, semasa anggota berkenaan dalam perjalanan bagi melaksanakan tugas-tugas keselamatan di pekan Sungai Golok dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata, polis syak penjenayah menanam bom di laluan kenderaan anggota keselamatan berkenaan.

“Ketika tiba di simpang tiga berdekatan pangkalan, berlaku satu letupan dan penyerang turut menembak menggunakan pistol. Anggota keselamatan membalas tembakan itu sebelum penyerang kemudiannya melarikan diri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Empat anggota yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Sungai Golok bagi mendapatkan rawatan.

Jadsadavit berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian polis menemukan sebuah kenderaan model sedan berwarna putih yang mempunyai nombor plat negara jiran.

Beliau berkata, susulan kejadian pihak keselamatan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengelak pergerakan penjenayah secara bebas di sekitar kawasan itu.

Pagi tadi Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, polis telah meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom dan bunyi tembakan yang dipercayai datang dari sekitar kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat awal hari ini.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini