comscore
Tumpuan :
Nasional

Letupan bom Sungai Golok: Polis guna kenderaan berperisai tingkat kawalan di sempadan

Foto hiasan

PASIR MAS: Polis Kelantan mula menggunakan kenderaan berperisai AFV Commando V150 semalam untuk memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan negara susulan insiden letupan bom dan tembakan yang berlaku di Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand pada 29 April lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata pihaknya sudah memulakan rondaan di kawasan Tumpat sepanjang Pos Ular, Pos Simpangan, Pos Nibong, Pos Pisau Raut, Pos Naga Ibu dan Pos Kuala Jambu.

Beliau berkata, apabila berlakunya insiden seperti itu pihak berkuasa akan meningkatkan lagi tahap keselamatan di kawasan terbabit.

“Kenderaan berperisai yang digunakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) itu membabitkan seorang pegawai dan 13 anggota sentiasa melakukan rondaan di sempadan, selain rondaan turut dilakukan menggunakan pacuan empat roda.

“Kita membuat pengoperasian secara strategik bagi menunjukkan anggota keselamatan benar-benar memperketatkan kawalan sempadan dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna, termasuk kenderaan berperisai.

“Pada masa sama, kita juga sudah mengerakkan rondaan di lokasi yang dijangkakan ada maklumat mengenai cubaan letupan bom dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Sambutan Warna Warni Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan rasmi daripada Bukit Aman berhubung nombor pendaftaran kenderaan Malaysia yang terbabit dalam insiden letupan bom.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Pol Col Jadsadavit Inprapan dilaporkan berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian menemukan sebuah kenderaan sedan berwarna putih yang mempunyai nombor pendaftaran negara jiran.

Katanya, susulan kejadian itu, pihak keselamatan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengelak pergerakan penjenayah secara bebas di sekitar kawasan berkenaan.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam pada 29 April lalu menyebabkan empat anggota polis Thailand cedera dalam insiden berkenaan.

Loading...
Terkini