comscore
Tumpuan :
Nasional

LHDN buru peniaga warga asing tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan memberi tumpuan menangani aktiviti pelarian cukai tahun ini terutama membabitkan ekonomi bayangan, khususnya warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan atas nama sendiri atau atas nama rakyat tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, aktiviti ekonomi bayangan sering dikaitkan perniagaan tidak berdaftar dan berlesen yang tidak membuat perisytiharan cukai termasuk pekerja sambilan yang menerima bayaran atau gaji secara tunai bagi mengelakkan pelaporan pendapatan dan bayaran cukai pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin. FOTO: NSTP

Beliau berkata, adalah wajar warga asing yang turut sama menikmati segala kemudahan infra, keselamatan dan pembangunan di Malaysia menyumbang kepada hasil negara.

“Seperti yang kita ketahui, memang aktiviti ekonomi warga asing ada yang berkemungkinan wajar dikenakan cukai. Justeru, kita hendak buat tindakan bagi memastikan semua ini membayar cukai sekiranya mereka telah sampai ke paras ambang yang mereka perlu membayar cukai.

“Kita pastikan bukan saja warga asing itu saja tetapi orang di belakang mereka. Banyak warga asing yang menggunakan lesen orang tempatan dan sebagainya, jadi orang tempatan itu juga kita akan buat semakan sama ada mereka telah mematuhi undang-undang percukaian,” katanya ketika ditemui di sesi libat urus Ketua Pegawai Eksekutif LHDN bersama media 2024 hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika terdapat cukai yang gagal dilaporkan oleh kumpulan itu, penalti yang setimpal akan dikenakan.

Katanya, LHDN juga memandang serius ketirisan cukai disebabkan aktiviti antara syarikat berkaitan.

Sementara itu, Datuk Dr Abu Tariq turut memaklumkan, pada tahun ini, LHDN akan memberi fokus kepada individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai dibuat.

Katanya, di bawah undang-undang cukai, LHDN boleh membuka sesuatu kes bagi tempoh lima tahun ke belakang dan jika ada elemen kecuaian atau penipuan, tiada had masa ditetapkan.

“LHDN juga akan meneliti maklumat individu yang menyimpan wang di luar negara, yang diterima secara berkala daripada pihak berkuasa cukai seluruh dunia. Maklumat ini diterima daripada pihak berkuasa cukai dari seluruh negara.

“Semakan dan risikan akan dilaksanakan bagi memastikan cukai telah dibayar terhadap simpanan yang ada di luar negara, sekiranya simpanan berkenaan berpunca atau hasil daripada aktiviti dalam negara,” katanya.

Ujarnya, transaksi rentas sempadan termasuk transaksi dengan entiti di Labuan akan diberi tumpuan tahun ini.

Beliau berkata, secara amnya, tidak menjadi kesalahan untuk syarikat membuat perancangan cukai.

Katanya, tumpuan LHDN adalah kepada akaun dan aset asing dan pihaknya akan membandingkan pengisytiharan pendapatan yang dibuat.

Jelasnya, jika didapati tidak setimpal dengan pengisytiharan pendapatan yang dibuat, maka pihaknya akan membuat semakan lanjut.

Selain itu, LHDN tegasnya akan memberi perhatian kepada institusi dan organisasi yang mendapat status pengecualian di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau berkata, status itu memberi manfaat potongan cukai kepada mana-mana orang yang menyumbang kepada organisasi itu.

Katanya, LHDN akan mengambil tindakan kepada organisasi yang telah tamat tempoh dan organisasi yang sebenarnya tidak mempunyai kelulusan pengecualian tetapi memohon sumbangan.

“Tindakan pendakwaan juga akan diambil oleh LHDN jika terdapat atau wujud unsur penyelewengan dana oleh organisasi ini seperti menggunakan dana kutipan untuk kepentingan peribadi dan bukan seperti yang dimaksudkan,” katanya.

Dalam masa sama, LHDN jtambahnya akan memberi tumpuan khusus kepada mana-mana individu atau mana-mana syarikat yang menjana pendapatan melalui aktiviti dalam talian.

Katanya, LHDN akan mengenalpasti sama ada pelaporan cukai telah dibuat terhadap pendapatan yang diterima melalui medium itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini