KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sudah menjalankan lebih 60 semakan audit ke atas syarikat dan individu berkaitan GISB Holdings (GISBH).
Berikutan itu LHDN memaklumkan kesemua mereka sudah dikenakan tindakan kompaun dan penalti cukai bagi Tahun Taksiran (TT) yang diaudit.
“Kompaun dan penalti cukai yang dikenakan sudah dibayar oleh pembayar cukai berkenaan. Pemantauan terhadap pematuhan cukai GISBH, syarikat serta individu yang berkaitan dijalankan secara berterusan seperti mana pembayar cukai yang lain.
“LHDN ingin menegaskan bahawa tiada layanan istimewa diberikan kepada pembayar cukai berkenaan. Kerjasama pihak LHDN dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan melengkapkan siasatan berdasarkan kepada maklumat dan penemuan baharu yang ada kaitan dengan isu percukaian bagi tahun terkini.
“Tindakan pendakwaan dan penalti di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan kolaborasi siasatan pihaknya LHDN mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai yang berkaitan.
Dalam pada itu, LHDN berkata usaha membanteras ketidakpatuhan cukai akan terus dilakukan pihaknya supaya dapat memberikan keadilan kepada semua pembayar cukai yang patuh sekali gus mengelakkan ketirisan hasil negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa