comscore
Tumpuan :
Nasional

LHDN serbu rumah Hamzah, helah politik murahan – Saifuddin

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Saifuddin Abdullah. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: BERSATU mendakwa serbuan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) ke atas rumah Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam, adalah langkah politik terdesak kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, turut menyifatkan serbuan berkenaan hanyalah strategi politik murahan untuk memburukkan pimpinan kanan parti itu.

“Ketika dia (pemimpin kerajaan) tak berkesan sebagai kerajaan, dia harus memburuk-burukkan pimpinan kanan dalam BERSATU dan dalam PN, dan inilah yang sedang berlaku.

“Saya menganggap ia helah politik murahan ketika PH-BN terdesak untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri.

“Apa niat di sebalik siasatan tersebut dan kenapa dia keluar di media, dari mana punca cerita itu kepada media, betulkah dari LHDN atau dari pejabat orang lain?” katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini.

Saifuddin diminta mengulas laporan media mengenai serbuan pegawai LHDN terhadap rumah Hamzah di Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan serbuan LHDN itu akan memberi kesan buruk kepada kempen PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Ini merupakan satu intimidasi politik ke atas DS Hamzah yang merupakan Ketua Pembangkang, isu-isu utama rakyat gagal ditangani seperti kejatuhan nilai ringgit. Rakyat akan menilai dan terjemahnya dalam PRN akan datang,” katanya kepada Buletin TV3.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, pula berkata kerajaan mahu membunuh karakter ketua pembangkang yang dipimpini Hamzah dengan hanya menggunakan cara yang tidak pasti atau samar-samar.

“Mereka (kerajaan) cuba melarikan fokus rakyat daripada apa yang berlaku dalam negara ketika ini seperti isu ekonomi merudum, kejatuhan nilai mata wang, peningkatan kos sara hidup dan sebagainya. Jadi itu yang dia (kerajaan) hari ini mahu menularkan bahawasanya ketua pembangkang tidak membayar cukai dan isu berkenaan mungkin akan menjadi modal dalam ceramah pilihan raya akan datang,” katanya kepada BH.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Larut itu difahamkan berada di rumahnya ketika serbuan dilakukan sepasukan pegawai LHDN kira-kira jam 11 pagi.

Sumber berkata, serbuan dilakukan susulan terdapat beberapa cukai yang tidak dilaporkan.

Menurut laporan sebuah portal pula, penguat kuasa LHDN turut merampas beberapa fail termasuk dokumen pemilikan aset dan akaun.

Loading...
Terkini