comscore
Tumpuan :
Nasional

LIMA ’23 : Pesawat tentera, aerobatik mula tiba di Langkawi  

FOTO : LIMA 2023 / Facebook

LANGKAWI : Menjelang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) Selasa ini, pesawat pengangkut dan jet pasukan aerobatik mula tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di Padang Matsirat, di sini, sejak petang semalam.

Ia termasuk pelbagai aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Difahamkan, pesawat Sukhoi SU-30MKM, F/A-18D Hornet dan Hawk serta pelbagai jenis helikopter termasuk helikopter terbaharu jenis MD530G yang sebelum ini mengadakan latihan di Pangkalan Udara Butterworth juga akan tiba di LTAL di sini, hari ini.

FOTO : LIMA 2023 / Facebook

Berdasarkan Facebook rasmi LIMA 2023, tujuh pesawat J-10C pasukan aerobatik Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) August 1 sudah mendarat di LTAL petang semalam.

Pasukan itu sudah melakukan 700 pertunjukan udara di lebih 170 negara dan wilayah.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) selaku Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur dan Kebersihan LIMA ‘23 kini giat mengkoordinasi persediaan tapak dan pemantauan tahap kebersihan di persekitaran Langkawi.

FOTO : LIMA 2023 / Facebook

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, berkata Langkawi sudah bersedia sepenuhnya menjadi tuan rumah kepada acara berprestij itu.

“Ini kerana projek menaik taraf Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dari segi sistem mekanikal dan elektrikal telah siap sejak 13 April lalu iaitu mengikut jadual ditetapkan dengan kos keseluruhan mencecah RM45 juta.

“Dewan pameran itu kini berfungsi dengan baik dan sedia untuk digunakan untuk penganjuran LIMA ‘23 yang bermula Selasa ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Kamarul Faisal berkata, antara skop kerja menaik taraf MIEC melibatkan sistem penghawa dingin, penukaran sistem elektrik, selain beberapa kerja peningkatan insfrastruktur bagi kemudahan parkir. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini