comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lima klinik daif di Kelantan berwajah baharu

 

MACHANG: Lima klinik desa di Kelantan sebelum ini yang dikategori sebagai daif, kini dinaik taraf sebagai klinik kesihatan Jenis 7 dan akan mula beroperasi pada 2 Julai ini.

Ia membabitkan Klinik Kesihatan Mata Ayer dan Klinik Kesihatan Kerilla, di Machang, Klinik Kesihatan Karangan, Kuala Krai, Klinik Kesihatan Peria, Kuala Krai dan Klinik Kesihatan Sokor, di Tanah Merah membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM32.05 juta.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pembinaan kelima-lima klinik kesihatan terbabit diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Katanya pembinaan kesemua projek (klinik kesihatan) berkenaan bermula pada 2020 dan disiapkan pada awal tahun 2023.

Jelasnya kelima-lima klinik kesihatan itu adalah klinik desa berstatus daif yang dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan Jenis 7 dan bakal menawarkan perkhidmatan seperti ibu dan anak, pesakit luar, rawatan kecemasan, Makmal Perubatan Asas dan Farmasi.

“Klinik tahun ini telah diluluskan dalam rolling plan pertama RMK11 dan jumlah keseluruhan RM32.05 juta. Semua projek ini mula tahun 2020 dan awal tahun ini siap fasiliti disini termasuk klinik kesihatan ibu dan anak klinik pesakit luar rawatan kecemasan, makmal asas dan farmasi selain itu ada juga quaters atas klinik yang beri perkhidmatan selesa pada petugas”.

Beliau berkata demikian di Sidang Media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Mata Ayer, di Machang, Kelantan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Terdahulu, Dr Zaliha mengadakan lawatan ke beberapa klinik kesihatan di Machang dan Kota Bharu bagi meninjau keadaan fasiliti semasa.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, sebanyak 39 klinik daif di Kelantan akan dibaik pulih serta dinaik taraf dengan anggaran kos RM9.6 juta.

Katanya proses perolehan kontraktor bagi semua 39 klinik ini sudah dimulakan dan sebanyak empat projek sudah selesai melantik kontraktor.

Manakala baki 35 klinik lagi dijangka akan selesai dalam masa terdekat dan kerja-kerja pembaikan akan dimulakan bulan ini.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan, pihaknya menubuhkan Pasukan Petugas Khas Projek Pembaikan Klinik dan Fasiliti Daif yang berperanan untuk memantau pelaksanaan projek berkenaan di setiap negeri.

Loading...
Terkini