comscore
Tumpuan :
Nasional

Lima lembu dibaham harimau, penternak rugi lebih RM25,000

Mokhtar melihat antara lembu miliknya yang mati dipercayai dibaham harimau. – FOTO: Ihsan Polis

JELI: Seorang penternak lembu kerugian lebih RM25,000 selepas lima lembu miliknya mati dipercayai dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Relak, Kuala Balah di sini, semalam.

Mokhtar Kassim, 65, berkata dua lembunya ditemui mati di dalam kandang manakala tiga lagi di luar kawasan kandang dalam tempoh tiga hari dengan kesan gigitan di leher.

Katanya, malah dia sendiri terserempak dengan dua harimau berdekatan kawasan ternakannya minggu lalu.

“Malah, saya lihat ada kesan tapak kaki harimau di kawasan sekitar sekali gus menguatkan lagi tanggapan bahawa lembu saya dibaham haiwan itu.

“Sejak lebih 15 tahun saya menternak lembu di sini, ini adalah kali pertama ternakan dibaham harimau dan insiden ini amat membimbangkan kerana ia turut mengancam keselamatan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dia juga membuat laporan polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan.

Mokhtar yang mempunyai hampir 50 lembu ternakan berkata, dia berterima kasih kepada pihak PERHILITAN yang mengambil tindakan segera memasang perangkap dan berharap harimau Itu dapat ditangkap segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob, mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu semalam.

“Laporan terbabit adalah kali pertama dilapor di daerah Jeli pada tahun pada tahun ini, kejadian seumpama pernah direkodkan berlaku di sini sekitar tahun 2002 dan tidak lagi berlaku sehinggalah kejadian terbaru muncul.

“Saya percaya pihak PERHILITAN mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan kejadian seperti ini daripada terus berlaku kerana dikhuatiri haiwan buas ini turut mengancam manusia jika tidak dibendung dengan sewajarnya,” katanya

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini