comscore
Tumpuan :
Nasional

Lima pekerja sangkar ikan warga Myanmar tanpa dokumen ditahan

Oleh: Selwam Arjunan

KUALA KEDAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kedah menahan lima lelaki warga Myanmar tanpa dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan di sangkar ikan di Perairan Tanjung Dawai, Sungai Petani semalam.

Selain itu, dua sangkar ikan juga didapati beroperasi tanpa lesen.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pemeriksaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman dan Op Khas Patkor Prima pada jam 5.30 petang semalam.

“Anggota telah memeriksa dua sangkar ikan berkenaan yang berada di kedudukan 1.4 dan 1.6 batu nautika barat laut Tanjung Dawai dan mendapati lesen sah pengoperasian telah tamat tempoh.

“Kelima-lima lelaki warga Myanmar yang disyaki pekerja sangkar berkenaan gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah ketika diperiksa.

“Kesemua yang ditahan berumur antara 27 hingga 38 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 8 (c) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan siasatan lanjut.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

“Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-731057,” tambahnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini