KOTA KINABALU: Bapa mangsa rentung dalam kebakaran di Jalan Lembaga Padi, Likas, tengah hari tadi terkilan tidak sempat memberi duit belanja kepada kedua-dua anaknya yang terkorban dalam kejadian itu.
Wahid Maulan, 44, berkata kali terakhir bercakap dengan dua anaknya, Siti Faridah Wahid, 3, dan kakaknya Almidah, 14, semalam, beliau berjanji memberikan lebih duit belanja selepas balik kerja di Kota Belud.
Ketika itu, dia sempat mencium kedua-dua anaknya sebelum bertolak ke Kota Belud untuk bekerja dalam bidang pembinaan di daerah itu.
“Saya sempat meminta kepada mereka berdua supaya mendoakan kerja saya lancar supaya dapat bagi lebih duit belanja.
“Namun tidak menyangka anaknya pergi meninggalkan mereka sekeluarga,” katanya ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, ketika kejadian, dia berada di Kota Belud sebelum bergegas pulang apabila mendapat berita mengenai nasib menimpa anaknya.
“Saya segera ke lokasi kejadian dan mendapati kedua-dua anak saya terkorban dalam kebakaran itu.
“Walaupun ujian ini amat berat tapi sudah ditakdirkan Allah SWT mengambil arwah pada usia muda, saya reda,” katanya.
Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari tadi, lima mangsa terdiri daripada bayi, kanak-kanak dan remaja ditemui rentung dalam bilik mandi salah sebuah daripada empat rumah yang terbakar.
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Raina Adrian, 1, Raida, 3, dan Raisa, 4, ketiga-tiganya adik beradik, manakala dua lagi anak keluarga jiran yang juga adik beradik dikenali sebagai Siti Faridah Wahid, 3, dan kakaknya Almidah, 14.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa