comscore
Tumpuan :
Nasional

Lima sekeluarga terselamat dalam kebakaran

foto ihsan bomba

KULIM: Lima sekeluarga terselamat selepas berjaya dibawa keluar pasukan bomba dalam kebakaran memusnahkan bangunan tiga tingkat yang didiami di Taman Semarak, awal pagi ini.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5 pagi itu, bagaimanapun menyebabkan seorang Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim serta seorang mangsa mengalami sesak nafas .

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.13 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kulim yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamizul Azwan Hamdan bersama 17 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, Komander Operasi melaporkan terdapat kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai kelas A tiga tingkat yang membabitkan kemusnahan 85 peratus di tingkat bawah sahaja.

“Namun kesemua lima mangsa di tingkat dua bangunan itu berjaya diselamatkan dengan bantuan anggota Bomba menggunakan tangga,” katanya, di sini hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kesemua mangsa yang selamat berusia antara 24 hingga 64 tahun, namun seorang wanita berusia 58 tahun dibawa ke hospital kerana faktor usia, manakala lelaki warga emas berusia 64 tahun dibawa ke hospital akibat sesak nafas.

Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu anggota BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Penanti, Pulau Pinang.

Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini