comscore
Tumpuan :
Nasional

LIMA’23 berjaya, penganjuran lebih baik disasar pada 2025

Oleh Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) disifatkan sebagai penganjuran paling berjaya setakat ini, apabila memuktamadkan urusniaga bernilai lebih RM17.6 billion.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penganjuran LIMA’23 juga disifatkan berjaya dalam menarik penyertaan tertinggi melibatkan 525 pempamer dari syarikat tempatan dan luar negara.

“LIMA 2025 dijangka mampu untuk menarik lebih banyak penyertaan dari dalam dan luar negara. Bagaimanapun, kita berhadapan kekangan dari segi logistik bagi menyediakan lokasi pameran.”

“Kita akan memohon agar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memperluas ruang pameran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) ini. Hebahan penyertaan kepada pempamer juga akan dibuat awal,” katanya.

Pempamer katanya ditempatkan di MIEC, memandangkan banyak syarikat yang menyertai LIMA mempunyai kepakaran melibatkan kedua-dua segmen maritim dan aeroangkasa.

“Ada sekurang-kurangnya 20 buah syarikat terlibat dalam menyediakan teknologi bagi kedua-dua segmen ini. Jadi sekiranya pempamer dipisahkan mengikut segmen, maka ianya akan menyukarkan urusniaga syarikat yang dimaksudkan,” katanya.

Selain kejayaan yang terpamer secara fizikal, LIMA’23 juga katanya menyuntik pembangunan bakat bagi industri maritim dan aeroangkasa pada masa hadapan.

“Rata-rata anak kecil yang hadir mahu menjadi jurterbang, atau terlibat dalam kerjaya maritim. Ini tandanya LIMA’23 berjaya membentuk minat dikalangan generasi muda untuk membentuk minat bagi kerjaya masa depan.”

Datuk Seri Mohamad berkata demikian dalam sidang media, selepas majlis penutupan LIMA’23 di MIEC, di sini hari ini.

Loading...
Terkini