comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] LIMA’23: Juruterbang ‘Oppa’ tarik perhatian ramai

LANGKAWI: Juruterbang pasukan Black Eagle dari Korea Selatan menarik perhatian ribuan pengunjung apabila diserbu sejurus selesai melakukan pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, hari ini.

Pasukan Black Eagle yang menggunakan pesawat KAI-T50B dan diketuai Mejar Yang Eun Ho, menjadi pasukan pertama mengadakan pertunjukan udara sempena LIMA 2023, hari ini.

Foto : NSTP

Pertunjukan mereka bermula jam 10 pagi dengan mengetengahkan 35 formasi yang mempesonakan dan berlangsung selama 35 minit.

Tinjauan mendapati, orang ramai yang berada di persekitaran Tarmac LTAL memberi tepukan gemuruh sebaik pasukan yang disertai tujuh pesawat itu selesai beraksi di udara.

Malah, mereka menjerit ‘Oppa!, Oppa!’ (abang) untuk menarik perhatian barisan juruterbang terbabit supaya menghampiri mereka yang berdiri di pagar keselamatan yang dikawal ketat untuk berswafoto dan bertanya khabar.

Siti Zamzarina Mohd Yusof, 23, dari Kuantan, Pahang, berkata dia gembira kerana berpeluang berswafoto dengan seorang juruterbang pasukan itu yang tidak dikenali ketika sudi menghampiri tempatnya berdiri.

“Saya rasa berbaloi, walaupun berhadapan kesesakan jalan raya dan beratur panjang untuk beli tiket, akhirnya dapat bergambar dengan juruterbang Black Eagle yang menjadi hasrat saya ketika mahu bertolak dari Kuantan lagi.

“Pastinya peluang bergambar dengan juruterbang Korea yang wajah mereka mirip artis Kpop yang popular menjadi kenangan yang sukar dilupakan pada LIMA kali ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Foto : NSTP

Nurul Safarina Mohd Jais, 22, dari Parit Buntar, Perak, berkata kemesraan dan keramahan yang ditunjukan barisan juruterbang dari Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) amat memikat hatinya.

“Saya peminat filem Korea, dan memang saya mengharap sangat dapat bergambar bersama mana-mana juruterbang Korea yang tampil membuat persembahan aerobatik pada LIMA kali ini.

“Tadi, ada tiga juruterbang menghampiri tempat saya berdiri dan sempatlah kami bergambar dan bertegur sapa menggunakan beberapa perkataan dalam bahasa Korea yang pernah saya hafal,” katanya.

Loading...
Terkini